Friday, September 21, 2012


Persatuan Telugu Ikrar Taat Setia
 
Description: http://n9kini.com/wp-content/uploads/2012/09/DSC_01072.jpg
BAHAU, – Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan hadir di Dewan Majlis Daerah Jempol, Bahau,  bagi merasmikan Majlis Pelancaran Tabung Wisma Telugu Negeri Sembilan di dalam Majlis Makan Malam.
Majlis makan malam yang dianjurkan oleh Persatuan Telugu Malaysia Cawangan Negeri Sembilan tersebut ialah bagi mengumpul dana membina sebuah Wisma bagi persatuan menjalankan aktiviti persatuan yang telah lama wujud di negara ini dan di cawangan khususnya.
Menurut Pengerusi Persatuan Telugu Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Encik R. Papiyah, persatuan telugu telah lama wujud dan bergiat aktif di Negeri Sembilan dan sudah sampai masanya telugu mempunyai sebuah wisma sendiri untuk menjalankan pelbagai aktiviti bermanfaat kepada ahlinya.
Selama ini persatuan menyewa bangunan, kawasan untuk melaksanakan pelbagai  aktiviti, namun dengan idea membina sebuah Wisma Telugu di negeri ini menandakan telugu sentiasa berfikiran jauh ke hadapan. Malah ahli persatuan turut berikrar taat setia memastikan kerajaan hari ini akan terus mentadbir dan memerintah negara.
Ini kerana telah terbukti, bangsa India di negara ini berjaya dari hasil pemerintahan kerajaan yang adil dan tidak di diskriminasikan oleh kerajaan.
Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, menyumbangkan RM50,000 bagi menambah kos pembiayaan pembinaan wisma yang menelan perbelanjaan lebih dari itu.
Beberapa kenamaan yang juga ahli persatuan Telugu, turut menyumbang kos pembinaan wisma yang diimpikan persatuan.
Menteri Besar di dalam ucapannya memuji sikap dan kesungguhan persatuan telugu.
Menurut beliau, sebuah bangunan sendiri perlu ada untuk sebuah pertubuhan yang aktif. Ia merupakan cadangan masa panjang yang memberi kelebihan kepada ahli persatuan menggunakan bangunan tersebut dengan sebaik mungkin.
Katanya lagi, “walaupun apa juga bangsa apa kita di Malaysia ini, kita telah hidup sebagai sebuah keluarga yang besar sejak negara mencapai kemerdekaan.
Kemerdekaan yang dicapai hasil dari kesepakatan semua bangsa. Kita baru mencapai kemerdekaan ke-55 tahun, dan kesinambungan ini perlu diteruskan, walaupun kita berlainan bangsa, tetapi kita telah hidup dengan suasana aman dan harmoni sejak dahulu lagi.” ujar beliau.
Menghormati di antara satu sama lain, semua bangsa perlu menghormati budaya hidup yang diamalkan. Jika kita tidak mengenal budaya bangsa lain, kita akan hidup sendirian dengan sifat mementingkan diri dan tiada jati diri.
Apabila tiada jati diri, bukan sahaja kita tidak menghormati budaya dan bangsa kita, tetapi kita tidak menghormati negara kita juga.
Rakyat negeri ini perlu insaf dan bersyukur kerana hidup di sebuah negara yang mengamalkan semangat perpaduan yang tinggi dan saling hormat menghormati di antara satu sama lain.
Bukan mudah untuk mencapai pembangunan negara yang hebat seperti hari ini, ianya turut memerlukan pengorbanan dan fikiran yang jauh ke hadapan.
Di majlis sama, Menteri Besar turut menyampaikan ‘Netbook’ 1 Malaysia untuk anak ahli Persatuan Telugu Negeri Sembilan yang melanjutkan pelajaran di universiti dan yang masih bersekolah menengah.
Hadir sama, Datuk Dr. Achaiah Kumar Rao, Presiden Kebangsaan Pertubuhan Telugu Malaysia, Dato’ VS Moga, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ T. Rajagopalu, Pengerusi Badan Perhubungan MIC Negeri Sembilan, Dato’ Shamsulkahar Hj Mad Deli, ADUN Serting merangkap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan  Dato’ Zainal Abidin Hj Ahmad, ADUN Lui.
 

No comments:

Post a Comment